Warganegara: RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 lulus sokongan dua pertiga

Hasimi Muhamad
Oktober 17, 2024 17:17 MYT
Saifuddin Nasution ketika sesi penggulungan hari ini antaranya menyatakan setakat semalam, sebanyak 19,317 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan bagi tahun 2024 - Foto/Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ringkasan AI
  • Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dengan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
  • Pindaan ini memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara jika ibu mereka adalah warganegara Malaysia, bukan hanya bapa.
  • Menteri Dalam Negeri menjamin bahawa semua permohonan kewarganegaraan yang belum selesai akan diputuskan selewat-lewatnya 17 Oktober tahun depan, dengan prosedur yang lebih telus dan SOP baru.

RUU tersebut diluluskan dengan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen selepas ia dibahaskan oleh 70 wakil rakyat.
Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas undi belah bahagi diadakan, dengan seramai 206 Ahli Parlimen bersetuju; satu tidak bersetuju, manakala 14 tidak hadir.
"Jumlah ialah seramai 221, manakala satu lagi tidak mengundi kerana digantung," kata Johari ketika mengumumkan keputusan berkenaan.
Pindaan RUU itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi penggulungan memberi jaminan untuk mempercepatkan permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan.
Ujar beliau, semua permohonan kewarganegaraan yang belum selesai akan diputuskan selewat-lewatnya 17 Oktober tahun depan.
Begitu pun setakat semalam, beliau memaklumkan telah membuat keputusan untuk meluluskan sebanyak 19,317 permohonan kewarganegaraan.
"Statistik terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kelulusan sejak tahun lalu adalah 32,153 permohonan, dengan 80 peratus membabitkan kes yang melebihi lima tahun," ujarnya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan telah meneliti dan menambah baik prosedur pengendalian standard permohonan dengan keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam tempoh setahun.
"Bagi memastikan proses permohonan kewarganegaraan itu telus, satu prosedur operasi standard (SOP) juga telah dibangunkan.
"Terutama bagi permohonan paling tinggi Perkara 15A iaitu anak tak sah taraf, anak angkat, anak jagaan dan 19(1) iaitu permohonan naturalisasi.
"Pada hari ini saya nak sebut bahawa SOP bagi kedua-dua fasal ini juga telah siap kita sediakan dan diberi kelulusan oleh Jemaah Menteri," katanya.
Dengan adanya SOP itu juga, beliau berkata pemohon akan mengetahui sebab permohonan mereka ditolak.
#isu kewarganegaraan #Pindaan RUU Perlembagaan #Saifuddin Nasution #Kanak-kanak
;