Warganegara Jepun patah rusuk terjatuh Gunung Mulu

Rohana Wahed
Disember 18, 2018 16:40 MYT
Akihiro Noda terpaksa menanggung derita selama lebih 90 jam sebelum berjaya diselamatkan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu. -Foto Sarawaktourism.com
Seorang warganegara Jepun terpaksa menanggung derita selama lebih 90 jam sebelum berjaya diselamatkan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu di Miri.
Akihiro Noda, 25, yang mendaki bersama rakan senegara yang juga pengkaji serta tiga porter dibawa turun dari gunung tersebut menggunakan helikopter Pasukan Unit Udara Bomba.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman berkata bomba menerima aduan kemalangan daripada pengurus Taman Negara Mulu pada Ahad, 1.22 tengah hari.
Operasi menyelamat mangsa di Camp 4 pada ketinggian 1,820 meter dari paras laut pada mulanya tidak dapat dilakukan akibat faktor cuaca.
Namun usaha pada hari kedua berjaya membawa kesemua mereka keluar dari lokasi dengan selamat.
Mangsa dihantar ke Hospital Miri pada 8.30 pagi Selasa selepas mengalami kecederaan punggung dan tulang rusuk.
#90 jam #Akihiro Noda #Gunung Mulu #kecederaan punggung #Khirudin Drahman #Miri #tulang rusuk #warganegara Jepun
;