Warganegara asing samun kedai aiskrim berjaya ditahan

Bernama
Ogos 16, 2024 06:30 MYT
Menurut polis, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
SHAH ALAM: Polis berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda di sini, pada 12 Ogos.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 39 tahun itu, ditahan kira-kira 4.15 petang semalam di sebuah pangsapuri di Puncak Alam.
Beliau berkata polis turut merampas senjata dan pakaian yang dipercayai digunakan semasa melakukan samun tersebut.
"Suspek akan direman di Mahkamah Shah Alam pagi esok dan polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes samun tersebut dengan tertangkapnya suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mohd Iqbal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda, cedera akibat ditoreh dengan pisau pemotong kertas dalam satu cubaan samun.
-- BERNAMA
#taman sri muda #Mohd Iqbal Ibrahim #warga asing #samun kedai aiskrim