Warganegara asing langgar SOP COVID-19 boleh diusir - Imigresen

Bernama
November 18, 2021 18:17 MYT
Khairul Dzaimee berkata individu yang didapati bersalah juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini semula. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Warganegara asing yang melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) langkah-langkah pencegahan COVID-19 boleh dikenakan tindakan pembatalan pas dan sebarang kemudahan imigresen yang telah diberikan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata individu yang didapati bersalah juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini semula, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.
"Sehubungan dengan itu, Jabatan Imigresen menasihatkan supaya semua warganegara asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.
Langgar SOP | Polis siasat dua warga asing tidak pakai pelitup muka
BACA: Tak pakai pelitup muka: "Ia adalah pilihan saya," kata 'Karen Dior'
BACA: Polis siasat dua warga asing tidak pakai pelitup muka di Taman KLCC
Beliau berkata kebelakangan ini, tular dalam media sosial isu warganegara asing yang melanggar SOP pencegahan COVID-19, malahan terdapat antara mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.
Sebelum ini, hangat isu seorang wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka dan naik berang selepas tidak dibenarkan memasuki sebuah premis butik mewah di pusat beli-belah Suria KLCC, bulan lepas.
Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di Taman KLCC baru-baru ini.
Langgar SOP | 'Karen' dikompaun RM3,000
#pematuhan SOP #warga asing #tindakan pengusiran #jabatan imigresen
;