Warga UTM diseru tangkas, berdaya saing depani cabaran dunia semasa
Bernama
Januari 23, 2024 06:15 MYT
Januari 23, 2024 06:15 MYT
JOHOR BAHRU: Warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diseru untuk lebih tangkas, lincah dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan dunia semasa, bagi menjamin kelestarian kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan serta kemampanan kewangan.
Naib Canselor UTM Prof Datuk Ahmad Fauzi Ismail berkata lima fokus dalam Pelan Tindakan 2024 UTM iaitu enVision Moonshot Transformative Journey 2.0 telah digariskan bagi tujuan sama.
Dalam kenyataan yang diedar pada Majlis Amanat Naib Canselor 2024 bertemakan 'Menginovasi Teknologi, Membudaya Integriti' di sini, yang dihadiri 3,000 warga UTM di sini pada Selasa, beliau berkata fokus pertama adalah memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif dalam melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan.
Katanya fokus kedua pula menyasarkan peningkatan pengkomersilan harta intelek watan dalam keperluan meneroka atau berdaya cipta, manakala fokus ketiga merujuk kepada kelestarian dengan pelan induk kampus akan direka bentuk serta dibangunkan berdasarkan konsep Kampus Tropika Lestari demi mencapai sasaran Kampus Sifar Karbon.
Fokus keempat menekankan kepada pemerkasaan agenda Transformasi Digital terutama menerusi usaha peningkatan kecerdasan fungsi aplikasi UTMSmart.
"..menerusi fokus kelima, UTM akan melaksanakan misi pengantarabangsaan strategik "Vice-Chancellor Asia Tour 3.0" di samping terus mengukuhkan penarafan global QS World University Ranking, THE World University Ranking dan THE Impact Ranking," katanya.
-- BERNAMA