Warga Thailand mengaku tidak bersalah seleweng diesel
Bernama
Julai 16, 2024 13:30 MYT
Julai 16, 2024 13:30 MYT
ALOR SETAR: Seorang warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng 322 liter minyak diesel, minggu lepas.
Witthaya Choochien, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Thai di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Pemandu lori itu didakwa memiliki barang kawalan iaitu 322 liter minyak diesel tanpa lesen, dalam tangki tambahan sebuah lori bernombor pendaftaran Thailand di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, kira-kira pukul 6.05 pagi pada 11 Julai lepas.
Bagi perbuatan itu Witthaya telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Nurdinasafira Mohd Sakri memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Lim Wei Yong yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan menetapkan 9 Sept ini sebagai tarikh serahan laporan kimia.
-- BERNAMA