Warga Thailand maut, tiga rakan terselamat, kereta bertembung lori
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 16, 2019 14:38 MYT
Oktober 16, 2019 14:38 MYT
Seorang lelaki warga Thailand maut mana tiga rakan senegaranya terselamat apabila kereta yang mereka naiki bersama seorang lelaki tempatan bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 78 Jalan Ipoh - Gerik di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam itu, Stasu Cheyor, 26 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangar, ACP Razali Ismail berkata, kemalangan berlaku ketika sebuah lori muatan ayam dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menuju ke arah Gerik.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang datang dari arah bertentangan, tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki lorong laluan lori lalu dirempuh bahagian sisi kanan kereta.
“Akibat kemalangan itu, mangsa penumpang belakang kanan disahkan mati di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Razali berkata, pemandu Gen2 warga Thailand dan lelaki tempatan yang menjadi penumpang hadapan hanya mengalami kecederaan ringan manakala dua warga Thailand yang duduk di bahagian belakang tidak cedera.
Menurutnya, pemandu dan kalendan lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kecederaan
#kemalangan
#Kuala Kangsar
#Lori
#maut
#meninggal dunia
#muatan ayam
#polis
#Proton Gen2
#Razali Ismail
#warga Thailand