Warga Thailand maut nahas tiga kenderaan
Vivi Sumanti
Mei 30, 2019 22:50 MYT
Mei 30, 2019 22:50 MYT
Seorang lelaki warga Thailand berusia 53 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu Karang, Rantau Panjang, hari ini.
Kejadian yang berlaku pada jam 2.43 petang itu membabitkan tiga kenderaan iaitu lori muatan kayu, Perodua Axia dan Chevrolet.
Pegawai Operasi, Penguasa Bomba Kanan I (PBKI) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang dan tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.
Katanya, seramai enam anggota dari BBP Rantau Panjang dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan.
"Setibanya di lokasi kemalangan, pemandu Chevrolet yang juga warga Thailand sudah meninggal dunia kerana tersepit di bahagian pemandu.
"Pihak kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Tiga lagi mangsa wanita hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Zaimi, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.19 petang.