Warga Thailand maut, nahas dua kenderaan dekat Masjid Bukit Setongkol

Azee Shafy
Januari 20, 2023 02:30 MYT
Pasukan bomba menjalankan operasi dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. - Foto ihsan JBPM Pahang
KUANTAN: Seorang wanita maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan berdekatan Masjid Bukit Setongkol, di sini, tengah malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva dan pacuan empat roda Mitsubishi Xpander.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.45 tengah malam dan seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
"Berikutan kemalangan itu, mangsa yang berada dalam Perodua Viva, seorang wanita yang dipercayai warganegara Thailand telah tersepit, dan gagal menyelamatkan diri.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pasukan bomba memulakan operasi dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
#wanita warga thailand #kemalangan #Masjid Bukit Setongkol