Warga Thai cedera, motosikal jatuh 30 meter ke dalam gaung
Aida Aziz
Februari 6, 2020 23:45 MYT
Februari 6, 2020 23:45 MYT
Seorang lelaki warganegara Thailand cedera apabila motosikal yang ditunggangnya terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 kaki (30 meter) di Gua Gendang, Kampung Tasek pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 7 malam.
Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Pichet, 50 terjatuh ke dalam gaung berkenaan ketika menunggang motosikal.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang mangsa lelaki warganegara Thailand terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 kaki.
"Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bomba sukarela dan penduduk kampung dan mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba kemudiannya membantu dengan memberi rawatan awal dan menghantar mangsa ke klinik untuk rawatan susulan.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Fairus Nordin itu tamat pada jam 7.35 malam.