Warga tempatan dalangi penyeludupan manusia dan barangan haram - APMM
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 15, 2021 16:56 MYT
Februari 15, 2021 16:56 MYT
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Sabah giat menggerakkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negeri itu berikutan kes-kes pencerobohan dan penyeludupan yang masih berlaku.
Lebih mencabar apabila hal-hal yang melanggar kedaulatan undang-undang itu turut didalangi rakyat Malaysia yang bertindak selaku tekong atau tali barut dengan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) serta barangan terlarang.
Kepada Astro AWANI, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkongsi mengenai cabaran tugas agensi berkenaan.
"Kita telah berjaya menumpaskan cubaan pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara, lima pencerobohan kita berjaya tumpaskan pada tahun lepas iaitu dari Vietnam, masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Sandakan serta tiga di Kudat.
"Kita juga berjaya mencegah cubaan membawa masuk pati oleh bot nelayan tempatan sendiri, di mana sejumlah 120 PATI dari negara jiran cuba dibawa masuk menggunakan bot nelayan tempatan.
"Dalam suasana pandemik Covid-19 ini, sebagai penyelesaian jangka pendek, PATI yang cuba dibawa masuk itu diusir dan tekong atau individu bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang," ujar beliau yang ditemui Astro AWANI ketika menyertai operasi rondaan rutin di perairan Kota Kinabalu, pada Isnin.
Selain itu, menurut Mohd Rosli, insiden rompakan di laut atau lebih dikenali sebagai aktiviti pelanunan turut menjadi antara agenda pembanterasan utama agensi berkenaan di Sabah.
Sejak ditubuhkan 16 tahun lalu, agensi itu kini semakin matang apabila usaha pembanterasan di perairan digembleng bersama negara sahabat, Indonesia dan Filipina.
Tambah Mohd Rosli, kematangan agensi itu terbukti dengan wujudnya keharmonian aktiviti pengawasan dan pencegahan dengan negara sahabat terbabit.
Jelasnya, hubungan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina amat kukuh dan kuat.
Cerita Sebalik Berita: Pemantauan APMM | Kawal aktiviti lanun di sempadan
"Dalam sesetengah keadaan, kita mempunyai satu perjanjian khusus untuk membolehkan 'hot pursuit' dilakukan agar pelaku-pelaku jenayah atau lanun-lanun ini dapat diberkas walau di mana mereka berada.
"Jenayah pelanunan ini tidak mengenal batas sempadan, ia mungkin berlaku dalam negara kita tetapi apabila kita mengejar, dia akan lari ke negara jiran.
"Jika tiada hubungan kerjasama yang baik dengan negara jiran maka sukar untuk kita tangani dan adakalanya mungkin boleh berlaku di negara jiran dan lari ke dalam negara kita,
"Maka dalam konteks ini memang perlunya kerjasama kuat antara kita dan negara jiran," katanya yang ditemui semasa operasi rondaan di perairan Kota Kinabalu dengan menaiki kapal KM Memmon sempena sambutan ulang tahun ke-16 APMM pada Isnin.
Mengakui keluasan perairan menjadi cabaran, Rosli berkata ia sama sekali tidak mematahkan semangat anggota dan agensi itu untuk terus menyumbang bakti kepada negara dengan kejayaan operasi-operasi yang digerakkan.
"Pada tahun lepas, kita telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok iaitu di Kota Kinabalu dan Sandakan, yang mana jumlah rampasan hampir 19,900 karton bernilai jutaan ringgit.
"Kita juga berjaya menumpaskan penyeludupan dadah di Tawau apabila ada cubaan membawa masuk 17 kilogram dadah jenis metamfetamin yang bernilai RM2.5 juta.
"Antara lain anggota APMM juga berjaya mematahkan cubaan rompakan di pelantar-pelantar minyak," katanya.
Keselamatan | Penugasan dan cabaran Maritim Malaysia kawal sempadan
#APMM
#Sabah
#warga tempatan
#dalang penyeludupan
#penyeludupan manusia
#rakyat Malaysia
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#undang-undang
#pencerobohan