Warga Syria ditahan reman selama 14 hari
Astro Awani
Oktober 3, 2018 12:19 MYT
Oktober 3, 2018 12:19 MYT
Warga Syria, Hassan Al Kontar yang ditahan polis pada Isnin kerana berada di 'kawasan yang dilarang' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), telah direman selama 14 hari.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan perkara itu dan berkata Hassan akan dihantar pulang ke negara asalnya setelah selesai siasatan polis.
Tambahnya, pihak imigresen kini sedang berusaha mendapatkan surat pengesahan daripada Kedutaan Syrian mengenai status Hassan.
Ini susulan dakwaan Hassan yang kononnya dia akan direkrut menjadi askar jika pulang ke Syria.
Lelaki berusia 36 tahun itu terkandas di klia2 sejak Mac lalu.
Menurut Mustafar, Hassan cuba memasuki Kemboja selepas pas lawatan yang dikeluarkan Malaysia telah tamat tempoh.
Namun dia tidak dibenarkan memasuki negara itu dan kembali semula ke Malaysia.
Jelas Mustafar lagi pihak imigresen juga akan bekerjasama dengan pihak kedutaan untuk menghantar Hassan pulang ke Syria.