Warga Syria direman akan dihantar pulang ke negara asal

Bernama
Oktober 4, 2018 20:17 MYT
Hassan Al Kontar direman 14 hari kerana tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) akan dihantar pulang dalam masa terdekat.
Lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang sedang direman 14 hari kerana tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lepas akan dihantar pulang ke negara asalnya dalam waktu terdekat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah Hassan menolak untuk tinggal di beberapa negara anggota ASEAN yang sudi menerimanya dan hanya mahu ke Kanada yang menetapkan dia hanya boleh memasuki negara itu dalam masa dua tahun dari sekarang.
"Malaysia tidak boleh membiarkan dia tinggal di klia2 selama 24 bulan. Jadi saya berharap Hassan menukar fikiran dan tinggal di mana-mana negara yang sudi menerimanya sementara berhijrah ke Kanada," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.
Hassan, 36 ditahan polis Isnin lepas kerana berada di 'kawasan yang dilarang' di klia2 dan direman selama 14 hari.
BACA: Warga Syria ditahan reman selama 14 hari
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali ketika mengumumkan penahanan Hassan pada Selasa lepas berkata warga Syria itu bertindak memalukan Malaysia melalui pelbagai kenyataan di media sosial sejak memasuki Malaysia 7 Mac lepas. Dia juga memberikan alasan enggan pulang ke Syria kerana bimbang dipaksa menjadi tentera.
-- BERNAMA
#hassan al kontar #Imigresen #KLIA2 #Kuala Lumpur #malu #media sosial #polis #Syria
;