Warga Sudan ditemukan lemas di Pulau Dayang Bunting
Bernama
Oktober 4, 2019 23:16 MYT
Oktober 4, 2019 23:16 MYT
Kegembiraan pasangan warga Sudan berbulan madu bertukar tragedi, apabila si suami ditemukan lemas semasa mandi di Pulau Dayang Bunting, di sini petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang selepas mangsa Muhayman Abubaker Daffallah Mohamedtoom, 31, yang mandi tanpa memakai jaket keselamatan, tidak timbul selepas menyelam di tasik tersebut.
"Siasatan mendapati Muhayman Abubaker bersama isterinya baru berkahwin datang ke Malaysia untuk berbulan madu. Mereka telah mengambil pakej mengelilingi pulau dan telah ke Pulau Dayang Bunting.
"Setibanya di lokasi kejadian si mati telah turun ke dalam tasik untuk mandi tanpa memakai jaket keselamatan, sebelum menyelam ke dalam tasik dan tidak timbul-timbul. Isteri mangsa yang menyedari kejadian itu bertindak meminta bantuan orang awam, sebelum mereka telah membuat panggilan kecemasan kepada polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Iqbal berkata hasil operasi mencari dan menyelamat oleh anggota bomba akhirnya berjaya menemukan mayat mangsa kira-kira 6.15 petang.
"Mayat Muhayman Abubaker telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi, untuk proses bedah siasat pada jam 9.40 malam tadi," katanya.
Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, Mohd Iqbal berkata mayat seorang pelancong warga China ditemukan terapung di Pulau Anak Datai, oleh nelayan pada jam 4 petang tadi.
"Terdahulu Zheng Zhao, 31, yang menginap di sebuah hotel berhampiran, telah keluar untuk berenang di pantai pada jam 11 pagi. Pada jam 3 petang teman wanita mangsa telah turun mencarinya di lobi, tetapi tiada sesiapa tahu ke mana mangsa pergi.
"Kira-kira 4 petang nelayan yang melalui Pulau Anak Datai telah nampak mayat Zheng Zhao terapung, sebelum menghubungi kakitangan hotel berkenaan untuk mengambil mayat mangsa.
"Pembantu perubatan Klinik Kesihatan Ayer Hangat yang dipanggil, mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk proses bedah siasat," katanya.
-- BERNAMA