Warga Singapura sesat mendaki, sudah ditemui
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 14, 2022 00:06 MYT
Ogos 14, 2022 00:06 MYT
KOTA TINGGI: Lelaki warga Singapura yang dilaporkan sesat ketika sedang melakukan aktiviti pendakian di Gunung Panti Barat, Batu Ampat di sini, pada Sabtu telah ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora berkata, mangsa, Neo Thiam Ming, 40 ditemui dalam keadaan selamat setelah mencari keluar sendiri dari hutan simpan itu, lebih kurang jam 4.20 petang Ahad.
"Mangsa dapat keluar sendiri dari hutan dan datang semula ke lokasi di mana polis membuka pusat kawalan tempat kejadian (lokasi masuk untuk naik ke Hutan Simpan Panti)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Thiam Ming dilaporkan hilang sejak Sabtu, dia menghubungi talian kecemasan 999 pada jam 7.10 petang yang disalurkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Tinggi selepas menyedari dirinya telah tersesat jalan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman berkata, pendaki warga Singapura itu tidak mempunyai permit mendaki dan mendaki seorang diri tanpa kawalan jurupandu atau Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Katanya, lelaki terbabit difahamkan memasuki Hutan Simpan Gunung Panti itu pada waktu petang pada Sabtu, sebelum tersesat dan tidak dapat keluar sehingga ditemui lebih kurang jam 4.20 petang tadi.
"Sekarang ini difahamkan pihak polis membawa mangsa ke hospital untuk rawatan.
"Seterusnya Jabatan akan ambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana masuk Hutan Simpanan Kekal tanpa Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal.
"Keselamatan diri pendaki adalah penting. Jika berlaku perkara sebegini bukan sahaja pendaki sendiri yang terkesan tetapi juga akan menyukarkan banyak pihak, terutamanya pihak yang terlibat dengan urusan mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi.
Jelas Salim, pihaknya menasihatkan kepada mereka yang berhasrat untuk masuk hutan atau mendaki agar memohon permit dari JPNJ dan dapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan yang berdaftar dengan Jabatan Perhutanan.
Katanya, bagi mereka yang tidak biasa dan tidak pernah masuk hutan adalah tidak dibenarkan membuat pendakian secara berseorangan.
"Untuk makluman, JPNJ dengan kerjasama JBPM telah memperkenalkan MGP pada tahun 2020 bagi bertujuan mengurangkan kes-kes kemalangan yang melibatkan aktiviti pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.
"MGP juga akan menjadi pemudah cara kepada mereka yang gemarkan sukan pendakian dalam kawasan hutan termasuk membantu menjaga keselamatan pendaki.
"Inisiatif memperkenalkan MGP terlatih di kalangan komuniti setempat juga bagi memperkembangkan lagi produk-produk ekopelancongan baharu yang berasaskan alam semula jadi serta memperkukuhkan aktiviti ekonomi penduduk setempat selaras dengan agenda Dasar Pelancongan Negara 2020-2030," katanya lagi.
#warga singapura
#sesat ketika mendaki
#Gunung Panti Barat
#Batu Ampat
#ditemui selamat
#Polis Daerah Kota Tinggi
#Neo Thiam Ming
#Kota Tinggi
#JPNJ