Warga Singapura dakwa isi minyak dalam tong untuk 'go-kart'

Sinar Harian
Jun 21, 2023 17:32 MYT
Tangkap layar video tular memaparkan pertelingkahan sekumpulan individu berlaku di sebuah stesen minyak. - Foto ihsan pembaca
ISKANDAR PUTERI: Polis mengesahkan kejadian pergaduhan membabitkan penghantar makanan dan dua lelaki warga asing di sebuah stesen minyak yang tular pada Rabu berpunca daripada perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box di sini pada jam 8.37 malam,16 Jun lalu.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada hari yang sama oleh penghantar makanan berusia 44 tahun itu.
"Pada jam 8.20 pagi Rabu, polis mengesan sebuah video berdurasi satu minit 50 saat di halaman Twitter "Mynewshub" yang memaparkan pertelingkahan sekumpulan individu berlaku di sebuah stesen minyak.
"Penghantar makanan itu mendakwa semasa hendak mengisi minyak, sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dinaiki dua lelaki warga asing telah berhenti untuk mengisi minyak di pam yang sama.
"Penghantar makanan itu kemudiannya melihat warga asing tersebut memegang tong di pam yang sama dan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, pertengkaran itu kemudiannya dileraikan anggota polis bantuan yang turut berada di situ dan warga Singapura terbabit belum sempat mengisi minyak yang dipercayai hendak digunakan untuk aktiviti 'go-kart'.
Video berkenaan turut dikongsi di Tiktok yang sudah dilihat lebih 800,000 pengguna laman sosial terbabit. -- Sinar Harian
#warga singapura #isi minyak #Perselisihan Faham #Johor Bahru
;