Warga Rohingya didakwa amang seksual, rogol kanak-kanak

Sinar Harian
Ogos 2, 2022 07:00 MYT
Ibrahim (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pada Selasa. -Foto Sinar Harian
BUTTERWORTH: Seorang tukang sapu warga Rohingya mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan rogol terhadap dua adik-beradik perempuan bawah umur yang tinggal berhampiran rumahnya.
Tertuduh, Ibrahim Abul Salam, 55 membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Ibrahim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun enam bulan di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah pada 11 pagi, 24 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa merogol mangsa yang sama di lokasi yang sama antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat iaitu melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan yang juga adik kepada mangsa pertama yang berusia lapan tahun tiga bulan.
Kesalahan amang seksual fizikal berkenaan didakwa dilakukan pada 25 Julai lalu, pada 1 tengah hari, manakala kejadian rogol pula antara Januari hingga Disember tahun lalu yang ia berlaku di lokasi sama.
Untuk kesalahan amang seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun tahun dan juga sebat.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam, Rafael Abdullah.
Ketika prosiding pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi melindungi mangsa berikutan tertuduh tinggal berhampiran kediaman mangsa, selain mahu menjaga saksi-saksi lain.
Peguam tertuduh pula memaklumkan bahawa pihaknya tidak bercadang memohon sebarang jaminan ketika ini dan akan meneliti semua dokumen yang akan diperolehnya kelak untuk tindakan lanjut.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh tidak boleh diikat jamin serta kes akan disebut semula pada 2 September hadapan untuk laporan perubatan dan serahan dokumen. -Sinar Harian
#amang seksual #warga Rohingya #rogol dua adik beradik perempuan bawah umur #Ibrahim Abul Salam
;