Warga Perancis meninggal dunia ketika daki Gunung Jasar Cameron Highlands
Norfarhiza Mohd Atar
Ogos 7, 2022 15:11 MYT
Ogos 7, 2022 15:11 MYT
CAMERON HIGHLANDS: Seorang pendaki warga Perancis dilaporkan pengsan sebelum meninggal dunia ketika mendaki Gunung Jasar di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi yang memaklumkan terdapat seorang pendaki tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti mendaki gunung.
Menurutnya, sepasukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dengan dibantu tiga anggota Polis Diraja Malaysia dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.
"Difahamkan mangsa bersama lapan lagi pelancong dan seorang pemandu arah memulakan pendakian kira-kira jam 8.30 pagi tadi. Namun ketika hampir tiba di puncak gunung mangsa tiba-tiba pengsan.
"Tindakan awal yang dilakukan oleh pasukan keselamatan yang tiba adalah memberi bantuan pernafasan kepada mangsa namun tiada tindak balas,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudiannya bertindak membawa mangsa turun dengan menggunakan pengusung.
"Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut serta dalam operasi itu," katanya.
Ismail berkata, berdasarkan butiran pada pasport milik mangsa, nama mangsa ialah Marc Antoine berasal dari Nantes, Perancis.
Jelasnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.