Warga pendidikan perlu saling percaya, beri inspirasi dalam pembentukan anak bangsa

Bernama
Julai 23, 2023 05:00 MYT
Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, budaya kerja ini akan terzahir dalam warga pendidikan apabila mempunyai kerjasama daripada pelbagai peringkat. - Gambar fail
KOTA BHARU: Gerak kerja seluruh warga pendidikan seharusnya ke arah satu bentuk kepimpinan berdasarkan budaya kerja saling mempercayai dan memberi inspirasi dalam usaha membawa kepada pembentukan anak bangsa yang berakhlak mulia dan berintelektual.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, budaya kerja ini akan terzahir dalam warga pendidikan apabila mempunyai kerjasama daripada pelbagai peringkat sekali gus menjadi tunjang kekuatan kementerian dalam memastikan perancangan penting dapat dilaksana dengan baik dan mencapai kejayaan sebagaimana dihasratkan.
"Saya yakin dengan adanya prinsip kebersamaan, keterbukaan dan kesyukuran dalam jiwa warga pendidikan, sudah pasti dapat membawa kemajuan dalam pendidikan negara sebab kita sudah ada nilai saling mempercayai dan memberi inspirasi.
"Kita juga sentiasa berusaha dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap ekosistem pendidikan negara khususnya pendidikan digital agar seiring dengan perkembangan pendidikan global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini pada Ahad, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, untuk membina suasana yang stabil dan harmonis dalam jiwa anak-anak didik, konsep Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) perlu dilakukan dalam memastikan pembinaan karakter yang terkait rapat dengan disiplin, adab susila dan kesopanan.
"Konsep ABC adalah sejajar dengan aspirasi tujuh teras yang menjadi tunjang hala tuju kementerian iaitu menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan murid.
"ABC bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain, malah turut mendidik mereka menjaga kesantunan dan disiplin, mematuhi undang-undang serta menggalakkan persaingan sihat sesama mereka," katanya.
Beliau turut menyeru semua warga pendidik berganding bahu dan menjadikan kebersamaan itu untuk sederap selangkah dan senada sekata dalam usaha mendukung sistem pendidikan negara agar dapat membina sebuah masyarakat MADANI. - BERNAMA
#warga pendidikan #budaya kerja #anak bangsa #Pkharuddin Ghazali
;