Warga pendidik perlu berpada-pada dalam berpolitik - Mahdzir

Bernama
Januari 18, 2018 04:00 MYT
MAHDZIR: Kementerian Pendidikan tidak berhasrat mengganggu guru yang menyertai parti politik pembangkang sehingga perlu dipecat, tetapi mereka perlu bertindak profesional selaku penjawat awam. - Gambar fail
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan warga pendidik supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.
Katanya, sebagai warga kerja kerajaan, mereka terikat dengan peraturan tertentu dalam perkhidmatan awam terutamanya berhubung hal yang bertentangan dengan dasar kerajaan.
Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan perutusan tahun baharu kementerian itu di sini pada Khamis, Mahdzir berkata, walaupun jumlahnya tidak ramai, kecenderungan mereka menunjukkan politik kebencian perlu diberi peringatan agar tidak berterusan.
"Walaupun ada dalam kalangan pendidik yang menyertai parti politik pembangkang, mereka perlu 'fine tune' dan meletakkan 'buffer zone' antara kerjaya dan ideologi politik agar tidak terlalu menyerlahkan watak pembenci dan antikerajaan," katanya mengulas kecenderungan pendidik menaiki pentas pembangkang dan menyatakan secara terbuka perkara yang tidak disukai berkaitan kerajaan.
Katanya, kementerian tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat daripada perkhidmatan tetapi meminta mereka bertindak secara profesional selaku penjawat awam.
"Apa yang perlu ialah saling memahami peraturan dan batasan sebagai penjawat awam dan jika semua mengikut peraturan dan etika ditetapkan, maka setiap perkara akan menjadi lebih mudah," katanya.
Menyentuh mengenai cadangan penyediaan lokar simpanan di sekolah yang boleh disewa bagi menyelesaikan masalah beg berat yang ditanggung murid, Mahdzir berkata walaupun boleh dilaksanakan langkah itu tidak praktikal kerana melibatkan tambahan kos kepada keluarga pelajar.
"Apabila libatkan tambahan kos, ia susah sikit dan pada saya lebih baik kementerian cari kaedah lain dalam menyelesaikan masalah tersebut," katanya sambil menambah kajian untuk tujuan terbabit sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Berkenaan isu persekolahan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, Mahdzir berkata, mereka dibenarkan bersekolah dalam tempoh dua tahun sementara proses penyediaan dokumentasi diri dengan pihak berwajib diselesaikan.
"Jika tidak (selesai) keluarga mereka perlu merujuk semula kepada pihak sekolah dan kita akan lanjutkan tempoh kebenaran bersekolah, bermakna mereka tetap dapat bersekolah seperti biasa," katanya.
-- BERNAMA
#beg berat #guru #kakitangan kerajaan #lokar simpanan #Mahdzir Khalid #pecat #pembangkang #pendidik #penjawat awam #politik kebencian #praktikal #profesional #sekolah #warganegara
;