Warga Pakistan maut dipercayai dilanggar komuter KTM berhampiran Jalan Sentul

Bernama
Jun 16, 2018 16:35 MYT
Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Gambar hiasan
Mayat seorang lelaki warga Pakistan ditemui dengan kedua-dua kakinya putus dipercayai digilis komuter di landasan kereta api di km1, Jalan Sentul di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian yang menimpa mangsa berumur 36 tahun itu dari orang awam kira-kira 9.30 pagi.
"Mayat mangsa ditemui dengan kedua-dua kakinya terputus di tepi jalan kawasan semak dipercayai tercampak dari landasan selepas dilanggar komuter," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, katanya.
Katanya, setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM).
-- BERNAMA
#Jalan Sentul #Kuala Lumpur #langgar keretapi #mangsa #mati #maut #mayat #Pakistan
;