Warga Pakistan buat laporan polis dakwa dipukul

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 18, 2020 19:31 MYT
Gambar tular lelaki warga Pakistan yang menerima 'nasib' apabila dikatakan cuba mencium seorang perempuan bawah umur semasa menjual aiskrim di sebuah taman perumahan di Kepala Batas. - Media sosial
KEPALA BATAS: Lelaki warga Pakistan yang dipukul selepas didakwa mengganggu seorang remaja perempuan di Taman Seri Indah, Kepala Batas pada Jumaat lalu membuat laporan polis semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, lelaki berusia 24 tahun itu membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul dua lelaki selain suspek bertindak meminta wang daripadanya.
Noorzainy berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki itu mendakwa telah didatangi oleh seorang lelaki selepas selesai menjual aiskrim kepada seorang kanak-kanak di hadapan sebuah rumah.
“Menurut mangsa, lelaki itu telah memberhentikan kereta dan meminta wang daripadanya sebelum menampar dan menendang motosikal mangsa selepas dia memberitahu tidak mempunyai wang.
“Suspek juga dikatakan meminta telefon bimbit mangsa dan telah bertindak memukul mangsa beberapa kali menggunakan sebatang kayu," kata Noorzainy dalam kenyataan pada Ahad.
BACA: Penjual aiskrim warga Pakistan dipukul cuba cium remaja perempuan
Tambah Noorzainy, suspek juga bertindak menghubungi seorang rakannya sebelum lelaki itu turut memukul dan menendang mangsa beberapa kali.
Noorzainy berkata, orang awam yang menyedari kejadian itu telah menegur perbuatan suspek dan menasihatkan mereka membuat laporan polis.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit dibahagian kepala, lebam dan calar di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Kepala Batas, untuk menerima rawatan.
Menurut Noorzainy, hasil soal siasat, lelaki Pakistan itu mendakwa pertama kali pergi berniaga aiskrim di kawasan itu pada Jumaat lalu dan tidak pernah pergi ke kawasan tersebut sebelum ini.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang peniaga aiskrim warga Pakistan ditahan polis selepas didakwa mengganggu seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika berniaga di kawasan itu pada Khamis lalu.
Lelaki itu didakwa memegang bahu mangsa dan memegang tangannya sebelum mahu mencium remaja itu ketika dia bersama adiknya membeli aiskrim di hadapan rumah.
#lelaki pakistan #laporan polis #polis pdrm #Remaja perempuan #Kepala Batas #mangsa pukul
;