Warga Nigeria mati dalam tahanan tidak miliki kecederaan fizikal
Bernama
Julai 16, 2019 05:59 MYT
Julai 16, 2019 05:59 MYT
Warga Nigeria Orhions Evansiha Thomas yang meninggal dunia di dalam lokap Depot Imigresen Bukit Jalil di sini, pada 9 Julai lepas, tidak mempunyai sebarang kecederaan fizikal pada badannya, menurut Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Menurut HCTM dalam satu kenyataan, perkara itu disahkan oleh pakar forensik HCTM yang membuat pemeriksaan terperinci pada mayat mendiang sewaktu bedah siasat dijalankan di bilik mayat hospital.
"Laporan lengkap bedah siasat akan dikeluarkan apabila semua keputusan ujian makmal termasuk toksikologi diperoleh untuk memastikan sebab kematian," menurut kenyataan itu.
HCTM menjelaskan pihaknya menerima panggilan daripada pusat panggilan kecemasan pada 12.08 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan Thomas yang berada di dalam lokap telah menghidap sawan serta tidak sedarkan diri.
"Pasukan ambulans dari hospital ini telah bertolak pada 12.10 pagi dan tiba di lokap imigresen pada 12.30 awal pagi.
"Setibanya, pasukan ambulans di lokap berkenaan, penama didapati tidak bernyawa dan mayatnya dihantar ke HCTM untuk dibedah siasat pada 5 pagi itu," menurut kenyataan itu.
Jumaat lepas, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataannya menjelaskan Thomas, 33, yang berada dalam tahanan depot berkenaan meninggal dunia pada 9 Julai lepas disyaki terkena serangan sawan ketika tidur.
Mendiang yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah di Limkokwing University of Creative Technology di sini meninggalkan seorang isteri dan dua anak kecil.
Thomas disahkan meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam dan sejurus insiden itu, pegawai penyelia serta pegawai bertugas telah ke Balai Polis Bukit Jalil untuk membuat laporan polis.
-- BERNAMA
#bedah siasat
#Bukit Jalil
#depot
#HCTM
#Hospital Canselor Tuanku Muhriz
#HUKM
#Ijazah Doktor Falsafah
#Imigresen
#kecederaan fizikal
#lokap
#mati
#mayat
#meninggal dunia
#Nigeria
#Orhions Evansiha Thomas
#panggilan kecemasan
#polis
#sawan