Warga Nigeria mati bergaduh dengan warga tempatan

Bernama
Mac 29, 2013 12:15 MYT
Seorang pelajar warganegara Nigeria mati selepas terbabit dalam pergaduhan dengan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Batu Muda, Jinjang di sini.
Mangsa, Solomon Okolo, 30, disahkan mati pukul 9 malam tadi di Balai Polis Jinjang di sini ketika membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kejadian berlaku pukul 7 malam tadi apabila kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa dan seorang rakannya dikatakan melanggar seorang penunggang motosikal yang tinggal di PPR itu.
Akibat pelanggaran itu, lelaki berkenaan terjatuh dan cedera sebelum berlaku pergaduhan yang kemudian disertai sekumpulan penduduk setempat, katanya kepada pemberita di sini.
Zakaria berkata polis yang membuat rondaan di kawasan itu kemudian meredakan keadaan dan membawa mangsa ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan.
Bagaimanapun mangsa tiba-tiba rebah dan doktor yang dipanggil bagi membantu mangsa mengesahkan Okolo sudah meninggal dunia, katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
#Jalan Batu Muda #Jinjang #Penduduk #pergaduhan #PPR #warga Nigeria
;