Warga Nigeria dipenjara, didenda kerana berkelakuan tidak senonoh

Bernama
Januari 13, 2017 19:19 MYT
Seorang warga Nigeria yang membuang air kecil di kawasan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya menerima padah dipenjara 14 hari dan didenda RM500. - Gambar hiasan
Seorang ahli perniagaan warga Nigeria yang membuang air kecil kerana berang sampel urinnya diambil pada awal pagi Tahun Baharu di kawasan Ibu Pejabat Polis di sini, menerima padah dipenjara 14 hari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Vincent Victor, 30, selepas dia mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan cara membuang air kecil di perkarangan ibu pejabat itu, menghentak meja kantin dan bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak polis pada 6 pagi, 1 Jan lalu.
Mahkamah memerintahkan Victor menjalani hukuman itu bermula dari hari ini dan penjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh yang telah berkahwin dengan wanita warga tempatan itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 94 A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk penjara mengambil kira faktor tertuduh yang naik berang dan berkelakuan agresif ketika polis memintanya untuk menjalani saringan awal ujian air kencing.
"Tertuduh juga ditahan di sebuah pusat hiburan ketika pihak polis sedang menjalankan Op Noda awal pagi tahun baharu itu. Dia bukanlah seorang yang disasarkan oleh pihak polis serta tindakannya yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak polis amatlah tidak wajar,
"Oleh itu saya memohon satu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan warga asing lain di Malaysia agar tidak melakukan perkara sama di masa akan datang," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan dia sudah kesal dan memohon maaf atas perbuatannya itu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh bersama beberapa rakannya yang juga warga asing telah ditahan di sebuat pusat hiburan di Damansara Perdana dan dibawa ke ibu pejabat polis untuk saringan awal ujian urin.
Tertuduh kemudian bertindak agresif kerana tidak puas hati sampel urinnya diambil dan bertindak membuang air kecil di perkarangan ibu pejabat itu namun cuba ditenangkan oleh beberapa anggota polis. Victor yang dalam keadaan marah kemudian pergi ke kantin Ibu Pejabat polis itu dan menghentak meja di situ beberapa kali sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang cuba menenangkannya.
-- BERNAMA
#Nigeria #Seksyen 90 Akta Polis 1967 #tiqah Abd Karim@Husaini #Vincent Victor
;