Warga Nigeria dan India kedua tertinggi ditahan seludup dadah tahun ini
Aizat Sharif
Disember 26, 2012 15:57 MYT
Disember 26, 2012 15:57 MYT
Seramai 68 orang warga asing dan tiga warga tempatan telah ditahan oleh penguatkuasa Kastam Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dalam cubaan mereka menyeludup dadah ke negara ini sepanjang 2012.
Penangkapan ini turut melibatkan rampasan dadah mencecah anggaran RM35.07 juta dan dari jumlah tangkapan itu ‘keldai dadah’ dari negara India mencatatkan jumlah kedua tertinggi yang ditangkap oleh pihak kastam KLIA selepas Nigeria dengan tangkapan seramai 19 orang.
Terbaru, empat ‘keldai dadah’ termasuk seorang wanita ditahan membabitkan rampasan dadah seberat 28.45kg dengan anggaran nilai RM1.73 juta sepanjang tempoh tiga hari antara 21 hingga 23 Disember.
Pengarah Kastam KLIA, Badaruddin Mohamed Rafik berkata keempat-empat suspek yang ditahan itu didapati menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan dadah menggunakan bagasi yang telah diubahsuai dalam cubaan melepasi kawalan kastam.
“Dalam kes pertama pada Jumaat lepas, seorang lelaki warga India yang bekerja sebagai juruteknik telah tiba di KLIA melalui penerbangan dari Mumbai. Ketika melalui kawalan kastam, suspek cuba mengelakkan diri dari diperiksa dan ini menyebabkan pihak kastam berasa curiga dengan tindakannya itu,” kata Badaruddin.
Apabila diperiksa bagasi lelaki terbabit, pihak kastam menjumpai dadah jenis syabu seberat 4.75kg diletakkan di belakang bagasi yang disorok dengan lapisan pakaian.
“Suspek berumur 38 tahun itu kemudian ditahan dan dadah dianggarkan bernilai RM902,500 dirampas. Siasatan mendapati lelaki itu telah enam kali memasuki Malaysia sepanjang dua tahun ini,” kata beliau lagi.
Penahanan tidak berakhir di situ sahaja, dimana pada hari berikutnya tiga lagi tangkapan berjaya dilakukan pada Sabtu dan Ahad.
“Pada Sabtu malam, dua orang termasuk seorang wanita ditahan selepas ketibaan mereka di Balai Ketibaan KLIA. Suspek berumur 27 dan 40 tahun ditahan selepas mereka tiba dari penerbangan dari Gaya, India,” kata Badaruddin.
Sejumlah 18.75 kg dadah jenis ketamin dengan anggaran bernilai RM656,250 dirampas dan rekod mendapati wanita itu telah memasuki Malaysia sebanyak enam kali sejak tahun lepas.
Malah pada keesokkan harinya, (23 Disember), seorang lagi lelaki berumur 24 tahun ditahan dan kali ini dadah ketamin seberat 4.95kg dengan anggaran bernilai RM173,250 berjaya dirampas.
Kesemua suspek kini direman selama 14 hari dari tarikh mereka ditangkap.
Menurut Badaruddin lagi, tangkapan membabitkan warga India sepanjang tahun ini sahaja melibatkan kuantiti dadah anggaran bernilai RM10.54 juta.