Warga Myanmar lolos: Polis nafi 13 etnik Rohingya maut kemalangan
Abd Razak Mohd Ali
Februari 2, 2024 15:10 MYT
Februari 2, 2024 15:10 MYT
TAPAH: Polis menafikan dakwaan kononnya 13 etnik Rohingya maut dalam kemalangan di Kilometer 335 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri sebaliknya berkata, hanya seorang sahaja yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kejadian tersebut seperti mana yang tular oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas meninjau Depot Tahanan Imigresen Bidor pada Jumaat.
PDRM Perak menasihatkan orang ramai supaya menghentikan serta merta menyebarkan perkara tidak benar atau sebarang maklumat palsu.
Pihak polis juga memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
Mohd Yusri berkata, mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, ASP Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222.
Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp sejak malam tadi kononnya 13 warga Rohingya maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan.
Media sebelum itu melaporkan seramai 131 pendatang asing melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor semalam.
Daripada jumlah berkenaan, 115 terdiri daripada etnik Rohingya dan 16 warga Myanmar.
#warga Myanmar lolos
#etnik Rohingya maut
#Ketua Polis Perak
#Mohd Yusri Hassan Basri
#Tular
#Depot Tahanan Imigresen Bidor