Warga Myanmar dikhuatiri lemas dalam lombong terbiar di Kuala Kampar

Abd Razak Mohd Ali
Jun 8, 2021 08:36 MYT
Operasi mencari dan menyelamat Peng Lawn yang dikhuatiri lemas di sebuah lombong terbiar di Kampar petang semalam, dimulakan pagi ini. - Foto JBPM Perak
KAMPAR: Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas ketika mandi bersama abangnya di dalam sebuah lombong terbiar berhampiran kawasan kebun buah-buahan di Kuala Kampar, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa yang dikenali sebagai Peng Lawn, 21 tahun, dan abangnya, Jacob, pergi ke kebun berkenaan untuk mencari pekerjaan.
Menurutnya, mereka tiba ke kebun itu kira-kira jam 4.30 petang dan diminta pemilik kebun berusia 57 tahun untuk melihat dahulu keadaan kebun tersebut sebelum memulakan kerja.
Kira-kira jam 6.30 petang, katanya, kedua-dua beradik itu mandi di lombong berhampiran untuk menyegarkan badan.
"Semasa sedang mandi, Jacob nampak adiknya berenang ke tengah lombong dan melihat adiknya dalam keadaan terkapai-kapai.
"Jacob berenang untuk menyelamatkan adiknya tetapi tidak berjaya kerana sudah keletihan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hasron Nazri berkata, memetik Jacob, semasa mandi mereka dalam keadaan mabuk.
Menurutnya, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak bomba dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Peng Lawn dimulakan pagi ini.
#lemas #lombong #warga myanmar #kebun buah #Kuala Kampar #adik beradik #mencari pekerjaan #mabuk #mandi #Hasron Nazri Hashim #pemilik kebun #lombong terbiar #Peng Lawn
;