Warga MOSTI perlu terus pastikan negara di tahap maju - Adham Baba
Astro Awani
September 1, 2021 11:19 MYT
September 1, 2021 11:19 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berharap warga kementeriannya dapat meneruskan tindakan serta pengurusan seperti yang direncana di bawah pentadbiran menteri sebelum ini, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Perkara itu perlu diteruskan, kata Dr Adham, bagi memastikan negara sentiasa berada di tahap yang maju serta terkedepan.
Beliau yang memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di sini hari ini berkata, warga MOSTI perlu membentuk satu pasukan yang kuat bagi menelusuri cabaran yang bakal dihadapi.
"Untuk itu marilah bersama membuat tekad dalam menggembleng tenaga di setiap lapisan masyarakat, sama ada di bandar atau luar bandar, bagi membentuk satu pasukan yang kuat.
"Kita juga harus menelusuri apa sahaja cabaran mendatang atau sedang kita laksanakan," katanya ketika menyampaikan ucapan selepas melapor diri hari pertama di MOSTI.
Dr Adham juga mahu memastikan kecemerlangan berkaitan sains dan teknologi diperhebatkan.
Tambahnya, tumpuan MOSTI adalah untuk mengetengahkan bidang inovasi dalam bentuk ekonomi.
Ini termasuk perancangan mengenai kaedah inovasi yang boleh meningkatkan ekonomi masyarakat selain memberi sumbangan kepada dunia dengan menjadi pengeksport dalam bidang sains dan teknologi, katanya.
"Kita juga akan meningkatkan penglibatan individu yang memerlukan khidmat MOSTI dalam memastikan kecemerlangan dalam bidang inovasi, sains dan teknologi," katanya dalam sesi interaksi bersama Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan warga kementerian secara maya.
Terdahulu, ketibaan Ahli Parlimen Tenggara itu di perkarangan kementerian disambut Timbalan Menteri Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Dr Adham mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di MOSTI tepat jam 8.34 pagi.
Isnin lalu, beliau bersama barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Dr Adham adalah Menteri Kesihatan pada pentadbiran terdahulu manakala Khairy Jamaluddin kini berpindah ke Kementerian Kesihatan.