Warga Malaysia Kalwant Singh jalani hukuman gantung subuh esok
Astro Awani
Julai 6, 2022 22:09 MYT
Julai 6, 2022 22:09 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, Kalwant Singh yang ditahan atas kesalahan mengedar dadah pada 24 Oktober 2013 akan menjalani hukuman gantung sampai mati esok, 7 Julai pada waktu subuh.
Ini selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir Kalwant yang diwakili oleh peguam Too Xing Jo hari ini.
Kata beliau, berdasarkan keputusan mahkamah, Kalwant akan tetap menjalani hukuman gantung sampai mati mengikut jadual asal.
Tanpa mendedahkan identiti, Kalwant akan menjalani hukuman itu bersama seorang lagi individu secara berasingan.
Kalwant yang berusia 32 tahun berasal dari Cameron Highlands, Pahang dijatuhkan hukuman gantung 7 tahun lalu iaitu pada 1 Jun 2016.
Ia berikutan Kalwant yang ketika itu berusia 23 tahun didapati bersalah memiliki 60.15 gram diamorphine dan mengedar 120.9 gram dadah jenis sama.
Terdahulu, Kalwant memfailkan usul kepada Mahkamah Rayuan Singapura bagi menangguhkan hukuman serta melakukan semakan terhadap sabitan dan hukumannya.
Permohonannya didengar oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Andrew Phang Boon Leong dan Tay Yong Kwang.
Kali terakhir ahli keluarga Kalwant bertemu dengannya adalah pada Jun lalu di Penjara Changi.
Pada 27 April lalu, seorang lagi warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam, 34 tahun turut menjalani hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.