Warga Malaysia ditahan di Sweden mungkin direman untuk tempoh lama - Peguam

Linawati Adnan
Januari 22, 2014 10:37 MYT
Ruby Harrold-Claesson, peguam dan Pengerusi Jawatankuasa Nordic bagi Hak Asasi Manusia berkata bagi kes seperti yang melibatkan pasangan warga Malaysia ditahan di Sweden atas dakwaan mendera anak mereka kerana tidak menunaikan solat, tahanan boleh ditahan selama tempoh yang tidak dapat ditentukan sehingga pihak pendakwaan berpuas hati.
“Saya pernah mengendalikan kes dimana satu pasangan ditahan reman selama 11 bulan dan anak-anak mereka dipaksa tinggal bersama keluarga angkat sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Mahkamah Daerah Solna di Sweden memaklumkankan kepada Astro AWANI bahawa prosedur standard untuk kes tahanan reman adalah mahkamah akan mendengar kes setiap 14 hari dan keputusan akan dibuat semasa pendengaran semula itu sama ada mereka akan didakwa atau tempoh reman dilanjutkan.
“Dalam kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Nurshal yang kini dalam tahanan reman, pendengaran semula kes mereka ditetapkan pada 30 Januari,” kata kerani undang-undang Mahkamah Daerah Solna, Freda Fandberg.
Pasangan tersebut yang mula ditahan sejak pertengahan Disember 2013 lalu, mendapat layanan baik oleh pihak berkuasa. Ini dimaklumkan kepada pihak Astro AWANI oleh ahli keluarga pasangan itu sendiri.
“Ini (Sweden) merupakan sebuah negara dunia pertama yang benar-benar berpegang kepada standard yang mementingkan hak asasi manusia. Jadi walaupun dalam tahanan, mereka dilayan dengan baik,” kata sumber tersebut.
Ahli keluarga itu juga memberitahu bahawa kempat-empat anak pasangan itu berada dalam keadaan sihat dan dijaga dengan baik di bawah Sistem Penjagaan Anak Angkat Sweden, walaupun mereka merayu untuk dikembalikan kepada ibu bapa mereka dan mahu pulang ke Malaysia selain menamatkan pengalaman pahit ini.
Walaubagaimanapun, Harrold-Claesson menerangkan terdapat kes-kes dimana anak-anak dibawah penjagaan keluarga angkat didera serta diabaikan. Ia tidak dapat dielakkan dimana sistem penjagaan anak angkat di Sweden ada kalanya dieksploitasi.
“Kami mempunyai ahli politik dalam majlis-majlis sosial, dimana mereka sendiri telah mengambil kanak-kanak sebagai anak angkat. Kami mempunyai pengasas rumah angkat yang mempunyai rumah angkat dimana isterinya adalah seorang pekerja sosial dan dia telah mengambil kanak-kanak dalam jagaan serta menempatkan mereka di rumah keluarga angkat yang dikendalikan oleh suaminya,” katanya.
Harrold-Claesson menambah, terdapat beberapa kes dimana ibu bapa dibebaskan tetapi hilang hak penjagaan terhadap anak-anaknya.
“Ketika ini saya sedang membantu sebuah keluarga Muslim yang datang ke Sweden enam tahun lalu bersama anak perempuannya yang berusia enam tahun pada Januari 2012. Kanak-kanak perempuan tersebut diasingkan daripada keluarganya dan ditempatkan di rumah anak angkat. Ibu bapanya tidak dibenarkan untuk berjumpanya sehingga ke hari ini,” tambah beliau.
Ahli keluarga terdekat melahirkan harapan mereka agar pihak berkuasa Sweden memberi kelonggaran bagi kes ini atas dasar kemanusiaan.
“Mereka adalah orang yang baik serta sebuah keluarga yang amat rapat. Dalam fikiran mereka, mereka hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” kata sumber itu lagi.
Selepas beberapa kali Astro AWANI cuba untuk menghubungi pihak Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur, Dutanya, H.E. Bengt G Carlsson menghantar e-mel mengatakan mereka tidak mempunyai kapasiti untuk membincangkan kes ini.
"Sistem perundangan Sweden adalah bebas dan bersifat autonomi. Kerajaan (termasuk Kedutaan) sama ada tidak dapat atau tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam prosiding undang-undang. Keputusan dalam perkara yang melibatkan kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan itu diwakilkan kepada pihak berkuasa tempatan dan di bawah pengawasan mahkamah. "
##SwedenLetThemGo #anak/children #Azizul Raheem Awalludin #Malaysia #Shalwati Nurshal #Sweden #Wisma Putra
;