Warga Malaysia disahkan hilang dalam insiden bot karam China
T K Letchumy Tamboo
Januari 17, 2015 14:30 MYT
Januari 17, 2015 14:30 MYT
Kementerian Luar Negeri hari ini mengesahkan bahawa seorang warganegara Malaysia dilaporkan hilang dalam kejadian bot tunda karam di Terusan Fubei, Sungai Yangtze berhampiran Bandar Jingjiang, Wilayah Jiangsu, China.
"Pihak berkuasa China sedang mempergiat usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa kejadian.
"Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pihak berkuasa China tentang kejadian ini," kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.
Lebih 20 penumpang sebuah bot termasuk beberapa warga asing dilaporkan hilang dalam insiden itu.
Menurut laporan, turut hilang pemilik dan sekumpulan juruteknik bot itu yang sedang mengadakan ujian bersama 24 penumpang yang lain.
Tiga telah berjaya diselamatkan dan pasukan kecemasan yakin ramai yang terperangkap di dalam bilik kabin bot yang terbalik itu.