Warga Malaysia didakwa dera anak di Sweden dibicara 16 Januari

Astro Awani
Januari 13, 2014 20:54 MYT
Sekadar gambar hiasan
Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin mengesahkan pasangan warga Malaysia di Stockholm ditahan kerana dikatakan menghukum anak.
Mereka ditahan sejak pertengahan Disember lalu dan bakal dibicarakan pada 16 Januari ini.
Suami merupakan seorang pegawai kerajaan Malaysia yang berkhidmat di Stockholm.
Sementara isterinya pula mengambil cuti tanpa gaji untuk bersama suami di negara itu.
Pihak Wisma Putra akan membantu sepenuhnya termasuk menyediakan bantuan guaman dan aspek pengurusan kes.
Menurut sumber, kesemua anak-anak dilapor berada di bawah penjagaan pihak kebajikan masyarakat Stockholm.
Jumaat lalu, Astro Awani melaporkan pasangan itu ditahan atas sebab menghukum anak kerana tidak menunaikan solat.
Penahanan itu disebabkan undang-undang ketat Sweden yang melarang anak dihukum melalui fizikal walaupun tanpa melibatkan kecederaan.
Dalam pada itu, warga Malaysia yang bakal melawat mahupun berkhidmat di luar negara dinasihat tidak mengambil ringan undang-undang terhadap kanak-kanak.
Ini kerana konsep penderaan serta perspektif hak asasi kanak-kanak yang berbeza diamalkan di negara terlibat.
Sementara itu, peguam syarie, Nizam Bashir berpendapat apa yang berlaku di Sweden mengetengahkan isu perbezaan skop perundangan mengenai kanak-kanak.
Malah pada masa sama, wujud pertembungan mengenai hak dan keutamaan antara ibu-bapa dan anak-anak.
#Datuk Hamzah Zainudin #dera anak #Stockholm #Timbalan Menteri Luar #Wisma Putra
;