Warga M'sia yang bercuti ditipu di Krabi
Bernama
April 19, 2017 23:46 MYT
April 19, 2017 23:46 MYT
Sekumpulan 24 warga Malaysia yang bercuti membuat laporan polis di Krabi, antara destinasi popular di selatan Thailand, selepas ditipu membeli pakej pelancongan palsu oleh seorang lelaki warga tempatan.
Menurut pegawai Polis Pelancong Krabi, Sub Lt Suwan Tuamsri, semua mangsa yang juga pelajar universiti swasta di Malaysia, membuat laporan di Balai Polis Aonang, Krabi semalam terhadap Theeradet Saetiew, lelaki yang didakwa mereka menjual pakej pelancongan yang tidak wujud.
"Mereka tiba di Krabi semalam tetapi tidak dapat menghubungi lelaki tersebut. Mereka telah memindahkan wang THB38,500 kepada Theeradet sebagai bayaran untuk keseluruhan pakej itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Katanya harga yang ditawarkan kepada kumpulan pelancong Malaysia itu adalah sangat murah berbanding pakej yang ditawarkan oleh agen pelancongan yang lain.
Selain itu, Threeradet juga menggunakan sebuah syarikat pelancongan bereputasi untuk menjalankan kegiatan haramnya.
Bersimpati dengan mangsa penipuan itu, pelbagai pihak di Thailand, kata Suwan, membawa kumpulan tersebut ke destinasi-destinasi popular di Krabi seperti yang ditawarkan dalam pakej palsu yang dibeli daripada Theeradet.
"Mereka nampak gembira dengan apa yang kami lakukan untuk mereka," katanya. -- BERNAMA
#ditipu
#Krabi
#laporan polis
#pakej pelancongan palsu
#Sub Lt Suwan Tuamsri
#Thailand
#warga Malaysia