Warga Kuala Lumpur mahu polisi pengurusan warga asing yang cekap

Astro Awani
April 23, 2018 05:13 MYT
Polisi pengurusan warga asing yang efisen diperlukan agar kemasukan golongan ini tidak merugikan rakyat Malaysia. - Foto fail
Polisi pengurusan warga asing yang efisen diperlukan agar kemasukan golongan ini tidak merugikan rakyat Malaysia.
Ini pandangan yang disuarakan penduduk Kuala Lumpur mengenai isu kemasukan warga asing di negara ini.
Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai implikasi kemasukan warga asing, rata-rata orang ramai menginginkan kerajaan menggubal polisi kukuh bagi mengurus komuniti warga asing dengan cekap.
Pengurusan tersebut termasuk dalam hal berkaitan keselamatan setempat, kesihatan awam ataupun peluang pekerjaan.
"Sebenarnya kalau kita lihat, pekerja asing ada sumbangan kepada negara. Namun, kerisauan buat kami lebih kepada sikap atau perbuatan mereka.
"Contoh yang boleh saya beri lebih kepada aspek kebersihan. Ada dalam kalangan mereka yang membuang sampah di merata-rata serta tidak menjaga kebersihan di tempat awam," kata Nur Athirah Azahar, seorang graduan.
Tambahnya, kalau minat warganegara ingin diraih untuk mengisi permintaan bagi kerja-kerja yang dianggap berbahaya dan kotor, inisiatif-inisiatif baharu perlu diwujudkan kerajaan untuk menarik lebih ramai orang untuk mengambil peluang ini.
Pandangannya turut dikongsi Eksekutif Pemasaran Thomas Woo yang merasa isu peluang pekerjaan melibatkan warga asing boleh diselesaikan sekiranya peluang pekerjaan sedia ada dapat diperkasakan.
"Maksud saya, kalau bilangan pekerjaan yang bergaji tinggi boleh ditambahkan, saya pasti tiada siapa yang akan merungut tentang perkara ini," kata Woo.
Namun, bukan semua rakyat di Kuala Lumpur berpandangan bahawa kemasukan warga asing adalah satu perkara yang membimbangkan.
Ada juga yang merasakan bahawa golongan ini perlu diberi peluang agar mereka dapat memberikan sumbangan positif buat negara.
“Apa yang penting di sini adalah mereka tidak melakukan jenayah atau memberi impak negatif kepada orang lain,” kata Syukran Anuar, seorang pekerja swasta.
Tambahnya, walau siapa pun yang bakal dipilih rakyat, mereka harus mengambil maklum bukan sahaja mengenai perihal warganegara yang telah mengundi mereka tetapi juga mana-mana golongan lain yang menetap di kawasan mereka, termasuk pekerja asing.
Menurut Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah imigran tanpa dokumen yang sah.
#keselamatan #kesihatan #MalaysiaMemilih #pekerja asing #pekerjaan #warga asing
;