Warga Kemboja maut terjatuh dalam tangki najis
Bernama
Januari 10, 2016 20:46 MYT
Januari 10, 2016 20:46 MYT
Seorang lelaki warga Kemboja berusia 53 tahun maut selepas terjatuh dalam lubang tangki pembetung najis di rumahnya di Jalan Tengku Kelana, Taman Sri Istana, Klang, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mangsa, Mohamath Sofiyen ditemui tidak sedarkan diri di dalam tangki sedalam satu meter kira-kira pukul 3.15 petang tadi.
Mangsa bersama seorang rakan warga tempatan dipercayai melakukan kerja pembersihan di tangki berkenaan.
"Bomba yang mendapat maklumat dari rakan rumahnya terus bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
"Pihak bomba mengangkat mangsa dari dalam tangki tersebut dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terhidu sejenis bau," katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, mayat Mohamath telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.