Warga Kelantan tak lena tidur risau musibah banjir

Muhafandi Muhamad
Oktober 1, 2015 21:51 MYT
Antara kekangan yang dinyatakan oleh kerajaan pusat ialah masalah tanah dan kesukaran mendapatkan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal ini. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Di Kelantan, menjelang sahaja bulan Oktober, penduduk di pedalaman Kelantan khususnya berhampiran sungai tidak lena tidur, apatah lagi musibah banjir besar Disember tahun lepas meninggalkan kesan yang amat mendalam.
Musim tengkujuh di Kelantan membuka tirainya bulan Oktober, dengan cuaca tidak menentu, hujan di kebanyakan tempat setiap petang merisaukan penduduk di kawasan pedalamam.
Kini kerisauan mereka terbukti apabila sepuluh buah kampung di Gua Musang dinaiki air berikutan hujan selama beberapa jam sejak awal pagi Khamis.
Kerisauan ini turut dikongsikan dengan penduduk di Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli yang turut terkesan dengan banjir besar atau bah kuning tahun lepas.
Sepuluh bulan berlalu, mangsa banjir di beberapa kampung di Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah masih lagi menetap di rumah transit yang dibina oleh badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, dermawan dan sebagainya.
Episod berada dalam khemah dengan suhu yang panas sudah berakhir biarpun masih ada 15 keluarga lagi di Gua Musang yang tinggal di khemah sementara di Bandar Utama Gua Musang kerana keengganan mereka berpindah ke Kem PLKN Etnobotani yang diseliakan oleh Majlis Keselamatan Negara, MKN dan pihak berwajib.
Dalam tempoh berkenaan, difahamkan lebih 300 buah Rumah Kekal Baharu (RKB) disiapkan dan diduduki dari keperluan sebenar 1827 mangsa banjir yang kehilangan rumah.
Jumlah tersebut merangkumi rumah yang dibina oleh NGO yang banyak menyumbang tenaga dan wang ringgit bahkan jumlah rumah yang dibina NGO lebih banyak berbanding kerajaan negeri dan pusat.
Hasil mesyuarat dan persetujuan dalam jawatankuasa bersama menangani pasca banjir kelantan, 572 unit rumah perlu dibina oleh kerajaan negeri melalui sumber peruntukan dari pelbagai agensi dan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) manakala selebihnya perlu dibina oleh kerajaan persekutuan.
Janji kepada mangsa banjir sebelum sambutan perayaan Aidilfitri mereka boleh mendiami RKB, dianjak ke aidiladha dan kini sudah memasuki musim tengkujuh, namun yang berjaya mendiaminya hanya sekitar 300 keluarga dari 1827 keluarga.
Antara kekangan yang dinyatakan oleh kerajaan pusat ialah masalah tanah dan kesukaran mendapatkan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal ini.
Walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam soal tanah di Kelantan, namun dikatakan kerajaan negeri bersikap acuh tidak acuh dengan mewartakan tanah yang tidak sesuai untuk pembinaan RKB.
Pemilihan demi pemilihan tanah untuk diwartakan menjadi penyebab kelewatan pembinaan RKB.
Hasil rundingan sehingga kini hanya dua kawasan tanah dengan keluasan lebih puluhan ekar diwartakan untuk pembinaan RKB, masing masing satu di Kampung Telekung dan Kampung Chenulang, namun ianya tidak mencukupi untuk menempatkan keseluruhan rumah mangsa banjir di daerah Kuala Krai yang berjumlah 1200 keluarga.
Proses mencari tanah yang sesuai dan rundingan termasuk mencari tanah milik persendirian untuk dibeli oleh kerajaan pusat antara bibik kelewatan pembinaan RKB ini.
Sebelum ini beberapa bulan selepas bah kuning, proses menentukan hak milik rumah, tapak, waris dan berkaitan dokumentasi dilakukan supaya mangsa banjir yang tidak memiliki geran tanah turut dapat memiliki RKB.
Selepas proses berkenaan, pemantauan tanah yang sesuai dilakukan untuk projek pembinaan RKB namun berdepan kekangan kerana kerajaan negeri mewartakan tanah yang memerlukan kerja tanah dilakukan kerana factor bukit dan sebagainya.
Rundingan pemilihan kontraktor, tender kerja dan sebagainya turuty menyumbang kepada kelewatan ini yang memaksa kerajaan persekutuan menambahkan lagi kos pembinaan dari RM48,000 seunit RKB kepada hampir RM60,000 seunit.
Bulan silih berganti dan kini sudah memasuki fasa tengkujuh, namun sebahagian besar mangsa banjir masih lagi berada di rumah transit.
Jawatankuasa bersama yang diwujudkan dengan dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapha Mohamed di lihat gagal mencapai persetujuan muktamad soal tanah dan pemilihan kawasan yang sesuai.
Justeru itu keadaan ini menjadikan pembinaan RKB lewat apatah lgi bila melibatkan mangsa banjir yang tidak mempunyai geran tanah yang sah.
Semua pihak sebelum ini beria-ria ingin membantu menyelesaikan soal pemilikan rumah kekal ini namun yang menjadi persoalan kenapa soal tanah masih menjadi alasan.
Kini mangsa banjir yang ketiadaan rumah seolah-olah putus harapan dan tidak pula menyalahkan kerajaan pusat dalam soal ini kerana mereka sedar kesediaan pusat membina rumah kekal sudah satu rahmat namun siapa pula yang mempunyai kuasa untuk memberikan tanah jika soal tanah yang sering kali dijadikan alasan.
#Bandar Utama Gua Musang #banjir #Kuala Krai #Majlis Agama Islam Kelantan #pedalaman #Rumah Kekal Baharu
;