Warga Kastam tidak akan sesekali tunduk kepada sindiket, tonto - KP JKDM
Arief Subhan
Julai 11, 2017 15:20 MYT
Julai 11, 2017 15:20 MYT
Warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa agar tidak gentar semasa menjalankan tugas biarpun sentiasa menerima ugutan ketika menjalankan operasi.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Subromaniam Tholasy berkata aspek keselamatan pegawai sentiasa menjadi fokus utama dan pihaknya tidak akan sesekali tunduk kepada desakan sindiket terbabit.
"Saya ingin memberi amaran kepada sindiket-sindiket dan tonto-tonto ini… hentikanlah, cukup," kata Subromaniam.
Menurut Subromaniam, statistik jumlah kes ugutan yang diterima pegawai JKDM semasa menjalankan tugas rasmi pada tahun 2013 hingga 2017 sahaja adalah sebanyak 150 kes.
"Secara purata, 40 kes ugutan tonto terhadap pegawai JKDM dilaporkan setiap tahun," kata Subromaniam pada Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasaan Isuzu D-MAX Prestige 3.0, di sini, hari ini.
Pengenalan 80 buah kenderaan untuk kegunaan Bahagian Penguatkuasaan JKDM di seluruh negara itu, menurutnya, mampu meningkatkan aspek keselamatan pegawai JKDM ketika operasi serbuan dan siasatan.
“Sehubungan itu, JKDM berharap dengan penyerahan kenderaan baharu ini dapat melindungi pegawai JKDM yang bertugas serta mengurang masalah jumlah kes ugutan atau ancaman yang dihadapi oleh pegawai,” katanya lagi.
Kenderaan Isuzu D-MAX Prestige 3.0 yang berharga RM90,000 setiap satu itu telah diubah suai dan dilengkapi ciri keselamatan seperti bull bar dan kamera video.
Menurut Subromaniam, JKDM akan membuat kajian semula jika insiden ancaman tonto berkurangan selepas pengenalan kenderaan baharu ini.
#aspek keselamatan pegawai
#isuzu
#Isuzu D-MAX Prestige 3 0
#Jabatan Kastam Diraja Malaysia
#JKDM
#kastam
#sindiket
#Subromaniam Tholasy
#tonto