Warga Kapit rayu khidmat bot ekspres Sibu-Kapit ditingkatkan
Syafik Shukri Jalil
November 8, 2021 08:38 MYT
November 8, 2021 08:38 MYT
SIBU: Selepas siapnya projek jalan raya yang menghubungkan Kapit ke Sibu dan Sibu ke Kapit, perkhidmatan bot ekspres kini kurang mendapat sambutan.
Bagaimanapun, masih terdapat permintaan terutama dalam kalangan warga Kapit yang tidak memiliki kenderaan persendirian.
Beberapa warga Kapit yang ditemui di Terminal Wharf Sibu oleh menyifatkan, kekurangan kekerapan perkhidmatan daripada 16 kali sebelum ini kepada satu perjalanan sahaja sangat membebankan mereka.
Bagi Diana Atun yang bekerja di Kem Balak WTK Holdings Berhad di Kapit, dia berharap agar kekerapan perkhidmatan bot ekspres dipertingkatkan.
“Kalau keadaan seperti ini memang betul-betul menyusahkan sebab ialah kita perlu ikut masa dia (waktu perjalanan bot ekspres).
“Bayangkan sekiranya ada hal yang perlu diselesaikan di Sibu dan hanya ada satu bot ekspres yang bergerak, memang pasti saya akan terlepas,” katanya.
Sementara bagi Cynthia Dumi, dia bimbang sekiranya ada sebarang urusan melibatkan dirinya di Sibu, dia tidak boleh melakukan perjalanan dengan kadar segera disebabkan kekangan ini.
“Saya bekerja dan menetap di Kapit di bahagian hulu jadi memang kena sampai ke jeti lebih awal demi memastikan saya tidak terlepas satu-satunya trip ke Sibu itu.
“Kalau boleh tingkatkan lagi kekerapan perkhidmatan ini,” ujarnya.
Manakala bagi Desmond Kalabu, kekurangan kekerapan perkhidmatan bot ekspres ini menyukarkan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri sekali gus tidak mampu membayar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan van ke Kapit.
“Agak susah sebab sekarang waktu perjalanan hanya sekali dan bayangkan kalau ada sebarang kecemasan di Sibu, bagaimana kami nak sampai lebih awal,” katanya.
Menerusi tinjauan pada sebelah pagi, hanya terdapat satu bot ekspres yang berlepas dari Terminal Wharf Sibu ke Kapit tepat jam 8 pagi.
Terdahulu, projek pembinaan jalan raya menghubungkan Sibu ke Kapit sepanjang 101 kilometer itu siap sepenuhnya sekitar Oktober tahun lalu.
Dengan siapnya jalan baharu yang menelan kos RM751,889,205.42 itu menjadikan perjalanan tanpa henti dari Sibu ke Kapit kini hanya mengambil masa sekitar dua jam berbanding, tiga jam menggunakan laluan sungai.
#Bot ekspres Kapit-Sibu
#Lembaga Sungai-sungai Sarawak
#Terminal Wharf Sibu
#pengangkutan warga Kapit