Warga Itali didakwa curi ubat di premis penjagaan kesihatan, kecantikan di KLIA T2

Bernama
Ogos 23, 2024 13:30 MYT
Maurizio Losi didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan mencuri ubat-ubatan di sebuah premis produk penjagaan kesihatan dan kecantikan di KLIA Terminal 2 pada 19 Ogos lepas. --fotoBERNAMA
SEPANG: Seorang lelaki warga Itali didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri ubat-ubatan di sebuah premis produk penjagaan kesihatan dan kecantikan pada 19 Ogos lepas.
Maurizio Losi mengangguk faham di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berusia 58 tahun itu didapati mencuri sekotak ubat jenis Fluimucila dan Gaviscon yang dianggarkan bernilai RM80 di premis yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (T2) di sini kira-kira pukul 5.20 petang pada 19 Ogos.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun, namun tertuduh tidak memahami akta terbabit.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur 'Ain Madihah Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 4 Sept ini sebagai sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#warga Itali #Mahkamah Majistret #curi ubat #KLIA2