Warga Ireland dibunuh, pembunuh tinggal nota

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 4, 2019 23:45 MYT
Mayat Brian Patrick O' Reilly (gambar) ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kediamannya di sebuah kondominium di George Town pada petang Isnin.
Mayat seorang pengaturcara komputer warga Ireland ditemui dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town pada Isnin.
Lelaki dikenali sebagai Brian Patrick O' Reilly, 51 tahun, ditemui oleh pihak pengurusan kondominium terbabit dalam keadaan terlentang dengan tangan dan kaki terikat kain dan tali pada pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tikaman di perut, kesan kelar di leher selain kecederaan di kepala, dipercayai akibat diketuk dengan kuali.
Che Zaimani berkata, polis turut menemui sekeping nota berhampiran mangsa, dipercayai ditinggalkan suspek selepas membunuhnya.
Nota itu bertulis: "I respected the police & still do but justice sometimes has to be gained. I hate you mafia killing scammers, I love my girl she is …" (tidak jelas).
Che Zaimani berkata, polis percaya suspek menyatakan rasa marah terhadap mangsa yang didakwa terbabit dalam sindiket 'scam' dan menipu wang adik perempuannya.
"Si mati terlentang di bilik tidur dia (ketika ditemui). Dalam siasatan awal, kita dapati kaki si mati diikat dengan kain, tangan (diikat) dengan tali dan terdapat penuh darah berlumuran di badan dia.
"Kita juga dapati, bilik dia telah diselongkar, peti besi telah diselongkar dan ada terdapat kesan seoalah-olah pergelutan berlaku.
"Jadi, kita percaya motif kejadian ini adalah samun, namun begitu kita juga dapati ada nota ditinggalkan berhampiran dengan si mati yang mengatakan perasaan marah kerana si mati adalah seorang scammer dan telah menipu adik perempuan dia. Jadi (suspek) ambil tindakan itu (bunuh) kerana marah," katanya.
Che Zaimani berkata, setakat ini polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
Katanya, mangsa baru membuka pejabatnya di negeri itu dua minggu lalu.
Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#Georgetown #lelaki ireland #nota bunuh #scammer #warga Ireland
;