Warga Indonesia, suspek ke-19 culik suri rumah ditahan di Yong Peng
Bernama
Mac 20, 2017 22:53 MYT
Mac 20, 2017 22:53 MYT
Seorang lelaki warga Indonesia, yang juga merupakan suspek ke-19 kes culik seorang suri rumah di Johor Bahru, ditahan di Plaza Tol Yong Peng Selatan arah utara, petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 39 tahun itu, ditahan dalam sebuah teksi yang dipercayai dalam perjalanan dari selatan ke arah utara.
"Hasil maklumat orang awam, kita berjaya menahan suspek berkenaan pada pukul 5.30 petang.
Kita percaya dia yang bertanggungjawab membawa lari mangsa ke Batam melalui laluan haram di Pengerang dengan menggunakan bot untuk ke Batam," kata beliau kepada pemberita di Balai Polis Yong Peng, dekat sini, malam ini.
Kamarul Zaman berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek, pihaknya turut merampas sepucuk pistol separuh automatik berwarna hitam dengan kaliber 380 yang mengandungi tiga peluru.
Turut dirampas ialah sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi 23 peluru kaliber 380 dan sebuah telefon bimbit.
Beliau berkata suspek berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan minimum enam sebatan.
Dia juga disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Sementara itu, pemandu teksi turut ditahan untuk memberi keterangan.
Pagi tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan 18 individu, 12 di Johor Bahru dan enam di Batam, Indonesia berhubung kes penculikan seorang suri rumah berusia 40-an.
Setelah 27 hari, wanita berkenaan kemudiannya berjaya diselamatkan dari sebuah rumah ladang di Batam dengan kerjasama polis Indonesia pagi Ahad lepas.
Pada 21 Feb lepas, wanita itu diculik dari rumahnya di Johor Bahru dan kemudiannya dibawa lari ke Batam. -- Bernama