Warga Indonesia karam dengan muatan sawit ditemui lemas
Rudi Affendi Khalik
September 2, 2019 22:03 MYT
September 2, 2019 22:03 MYT
Seorang warga Indonesia yang hilang selepas bot yang dinaikinya karam dengan muatan kelapa sawit di Batang Suai di sini ditemui lemas petang tadi.
Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Yanto Olin, 34, ditemui pada jam 2.45 petang Isnin.
"Mangsa dijumpai pada jarak lima meter dari tempat dia dipercayai kali terakhir dilihat.
Mayat mangsa katanya, kemudian dinaikkan ke darat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada pihak Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, polis dan penduduk Kampung Iran.
Mayat mangsa katanya, kemudian diserahkan kepada pihak polis Niah untuk tindakan lanjut.
Mangsa dilaporkan hilang pada Ahad selepas bot yang dinaikinya bersama-sama dua lagi rakan, yang dalam perjalanan ke kilang Green Field tidak jauh dari situ tiba-tiba dimasuki air lalu karam.
Dua rakan mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan oleh beberapa pemancing yang kebetulan berada berdekatan.
Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.11 pagi sebelum sebuah jentera dan enam anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dan mengaktifkan aktiviti SAR.
Lebih 30 anggota terlibat dalam aktiviti SAR sejak jam 8.00 pagi tadi, menggunakan enam buah bot yang meliputi kawasan seluas tiga kilometer radius dari lokasi bot karam.