Warga Indonesia dituduh bunuh cucu saudara OKU

Astro Awani
Januari 21, 2021 13:55 MYT
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. - Gambar hiasan
SELAYANG: Seorang wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan membunuh cucu perempuan saudaranya berusia lima tahun yang juga orang kelainan upaya (OKU), pada Disember tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Ipzuma Ambo, 55 tahun, yang bekerja sebagai pembantu rumah, dituduh dengan niat membunuh Qaseh Nur Qalesya Roza Iskandar.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Mengikut kertas pertuduhan, Ipzuma dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Lorong Malion Dua, Kampung Sungai Chin Chin, Gombak.
Insiden itu didakwa berlaku antara 28 Disember jam 12.01 pagi hingga 30 Disember jam 8.10 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh diwakili peguam Suriati Che Arifin.
Mahkamah menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan semula kes.
#Selayang #Nenek bunuh cucu #mahkamah #warga Indonesia #Mahkamah Majistret #OKU
;