Warga Indonesia didenda beri maklumat palsu mohon MyKad
Sinar Harian
Januari 25, 2023 06:15 MYT
Januari 25, 2023 06:15 MYT
BESUT: Seorang warga Indonesia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Besut pada Rabu selepas mengaku salah mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan gantian MyKad yang hilang.
Hakim Ainis Abu Hassan Shaari mengarahkan tertuduh, Muhamad Daud Hasbullah, 54, membayar denda dan jika gagal tertuduh berdepan hukuman penjara selama 10 bulan dari tarikh dia dijatuhi hukuman.
Tertuduh bagaimanapun telah menjelaskan bayaran denda sebanyak RM7,000 pada Rabu dan kes itu akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu dengan menggunakan kad pengenalan individu lain semasa berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Besut bagi tujuan membuat permohonan kad pengenalan gantian hilang akibat banjir pada 1 Januari 2023.
Tertuduh kemudian ditahan pada 18 Januari lalu selepas perbuatan itu dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Terengganu.
Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana telah memberikan maklumat palsu dalam butiran material semasa membuat permohonan gantian hilang kad pengenalan.
Kesalahan itu membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes tersebut dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JPN Negeri Terengganu, Norjannah Mariam Hanna Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -Sinar Harian