Warga India maut dipercayai terhidu bahan kimia ketika cuci lori tangki

Astro Awani
April 26, 2021 22:55 MYT
Pekerja pusat mencuci kenderaan yang maut dikenali sebagai Magehindran berusia dalam lingkungan 40-an. - Gambar/ JBPM
JOHOR BAHRU: Lelaki warga India maut manakala seorang lagi kritikal dipercayai akibat terhidu saki-baki bahan kimia ketika sedang membersihkan sebuah lori tangki di pusat mencuci kenderaan di Jalan Seri Perkasa 1/1, Taman Tampoi Indah, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Abdul Jamal berkata pekerja pusat mencuci kenderaan yang maut itu dikenali sebagai Magehindran berusia dalam lingkungan 40-an, manakala individu yang kritikal merupakan warga tempatan iaitu S. Balamurali, 32.
Beliau berkata seramai 12 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender, satu Emergency Rescue Medical Services (EMRS) dan dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.58 pagi tadi.
"Sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dan seorang separa sedar berada di atas sebuah lori tangki kosong.
"Lori tangki itu sebelum ini menyimpan bahan 'Fatty Alcohol UN No.3082' yang banyak digunakan untuk bahan pencuci, dipercayai mangsa terhidu saki-baki bahan kimia terbabit semasa sedang berada di atas lurang tangki," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa turun dengan menggunakan tali dan pengusung serta diberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa kritikal menerima rawatan dan berada di zon merah Hospital Sultanah Aminah, di sini.
Suhaimi berkata dalam masa sama anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) turut melakukan tinjauan bagi memastikan kawasan persekitaran selamat.
#Kementerian Kesihatan #kesihatan #bomba #mangsa #maut #polis #operasi #India #Malaysia #PERKASA
;