Warga India maut dalam kemalangan di kawasan hutan simpan di Beaufort

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 19, 2020 02:33 MYT
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki lapan individu terlibat dalam kemalangan dalam kawasan Hutan Simpan Lumadan di Beaufort. - Foto PDRM
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warganegara India maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kawasan Hutan Simpan Lumadan, Beaufort.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.15 petang Ahad apabila kenderaan yang dinaiki mangsa dalam perjalanan pulang dari menjalankan kerja-kerja pembinaan pencawang serta pemasangan kabel elektrik di kawasan hutan simpan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak, ketika kejadian, terdapat lapan individu di dalam kenderaan terbabit.
"Kenderaan yang dipandu pekerja syarikat terbabit dipercayai hilang kawalan lalu mengundur ke belakang sebelum terbabas ke kanan jalan dan terbalik.
"Akibat daripada kejadian ini, salah seorang daripada tujuh penumpang yang berada di bahagian trak belakang telah tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian leher.
"Mangsa dikenali dikenali sebagai Kusan Anumanthan Kumar, 46 tahun, warga India. Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmir, siasatan awal mendapati pemandu 4WD terbabit tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Hasil siasatan awal terbabit turut mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal pergerakan kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.
"Kita dapati tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang terkesan dalam kemalangan ini. Namun begitu siasatan lanjut masih diteruskan." katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#meninggal dunia #kemalangan #polis #jenayah #India #siasatan #mangsa #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #hilang kawalan #kecuaian pemandu #Azmir Abd Razak #Beaufort #pekerja syarikat #mengundur #terbabas #tersepit #cedera