Warga Filipina maut kereta bertembung pacuan empat roda di Labuan
Bernama
Disember 8, 2022 15:21 MYT
Disember 8, 2022 15:21 MYT
LABUAN: Seorang lelaki warga Filipina maut selepas kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kemalangan di jalan pesisir pantai Nagalang, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Ismaidi Ismail berkata mangsa dikenal pasti sebagai Rogelio Morta Jr Rogelio, 42, pemegang pas IMM13 (pas lawatan sosial bagi pelarian Filipina).
Beliau berkata pemandu wanita kenderaan 4WD itu, Nooratira Matrih yang mengandung 16 minggu turut mengalami kecederaan dalam kemalangan pada 8.30 pagi tersebut dan dia kini dirawat di Hospital Nukleus Labuan.
"Kami mendapat panggilan kecemasan pada 8.52 pagi dan mengerahkan anggota dari Balai Bomba Rancha-Rancha ke tempat kemalangan.
"Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa terperangkap dalam kenderaan masing-masing iaitu mangsa yang maut menaiki kereta Perodua Viva dan turut mendapat bantuan kakitangan perubatan kecemasan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Ismaidi berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Ini adalah kali pertama kemalangan berlaku di jalan pesisir pantai ini sejak ia dibuka kepada orang awam pada 1 Feb tahun ini," katanya.
-- BERNAMA