Warga Felda bakal berubah dengan ladang ikan sturgeon di ECER
Syafique Shuib
Julai 16, 2013 20:30 MYT
Julai 16, 2013 20:30 MYT
Ladang ikan sturgeon di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bakal ubah kehidupan 1,300 warga Felda.
Projek yang bernilai RM120 juta dengan harga pasaran kaviar yang mencecah antara RM9,000 hingga RM15,000 sekilogram mampu membawa pendapatan bulanan sebanyak RM10,000 kepada warga Felda.
Jerantut dan Jengka, Pahang telah dikenalpasti sebagai antara lokasi berpotensi untuk melaksanakan projek penternakan ikan sturgeon ini.
"Konsep ladang ikan sturgeon ini akan turut diperluaskan untuk meliputi peneroka Felda di kawasan berhampiran bagi mewujudkan sebuah ladang akua ikan sturgeon peringkat serantau," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Felda dan MMC Hassed Co. Ltd. dari Korea Selatan.
Pembangunan Kompleks ladang ikan sturgeon akan bermula pada tahun 2014 dan dijangka siap dalam masa 18-24 bulan.
Turut hadir pada majlis yang sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Dato' Jebasingam Issace John, yang berkata sektor pelancongan juga mampu bermanfaat dalam projek ini.
Ini kerana kompleks penternakan ikan juga bakal dilengkapi dengan kawasan pameran, akuarium dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Antara langkah yang diambil adalah pembangunan resort bagi kemudahan pelancong yang melawat wilayah ECER.
"Kami juga sedang fokus kepada pembangunan penyatuan ('integrated')resort-resort di Cherating, Perhentian dan Redang. Mereka (pemilik resort) mempunyai sasaran dari segi jumlah pelancong dan keuntungannya," tambah beliau yang tidak memberikan sebarang angka jumlah sasaran.
ECER merangkumi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan daerah Mersing, Johor yang merupakan sebuah wilayah yang kini sedang melalui transformasi yang pesat.