Warga emas usia 70 tahun maut kereta terbabas
Sinar Harian
Disember 21, 2023 10:00 MYT
Disember 21, 2023 10:00 MYT
KOTA BHARU: Seorang wanita ditemukan maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terbabas di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asistens Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 3.19 petang.
"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta yang dipandu mangsa yang berusia 70 tahun itu dari arah Jalan Zainal Abidin menghala ke Jalan Sultan Ibrahim dalam keadaan perlahan tanpa berhenti di simpang.
"Ketika kejadian, mangsa dipercayai sudah tidak sedarkan diri dan kereta tersebut telah terbabas ke arah pembahagi jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan ke atas wargas emas terbabit.
Ujarnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tujuan bedah siasat.
Mohd Rosdi memberitahu, kes tersebut diklasifikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian